Ulasan: CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Thursday, 28 April 2016

Ulasan: CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR (2016)


Bersambung dari filem sekuel AVENGERS: AGE OF ULTRON (2015) yang melibatkan kemusnahan negara Sokovia, Avengers telah dianggap merbahaya kerana menyebabkan kematian ramai orang awam walaupun berkali-kali menyelamatkan dunia dari ancaman penjahat. Setiausaha Negara Thaddeus "Thunderbolt" Ross (William Hurt), memberitahu bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam proses meluluskan "Sokovia Accord", sistem yang bakal mengawal kesemua ahli Avengers. Akibat rintihan seorang ibu (Alfre Woodard) yang kematian anaknya di Sokovia, Tony Stark/Iron Man (Robert Downey Jr.) menyokong saranan kekangan terhadap Avengers manakala Steve Rogers/Captain America (Chris Evans) menentang. Dengan kemunculan Winter Soldier (Sebastian Stan) menimbulkan huru hara, anggota Avengers terpaksa memilih untuk menandatangani atau mengingkari "Sokovia Accord".


ULASAN: Dari mula CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR tidak membuang masa, fakta dilampirkan melalui sedikit flashback, sedikit babak menjelaskan cause & effect, kemudian terus dengan penceritaan baru dan segar. Tragedi yang membuatkan manusia rasa takut pada superhero tidak cukup membebankan atau kompleks seperti dalam komik tetapi ancaman kali ini lebih universal kerana Sokovia saja sudah meragut 177 nyawa.

Pengenalan watak baru juga digarap dengan cepat tapi berkesan, penonton mudah hadam kenapa T'Challa (Chadwick Boseman) dan Peter Parker (Tom Holland) terpanggil menyertai pasukan mereka, tidak perlu pun babak emosional keterlampauan. Bagi ahli kumpulan yang sedia ada, pasukan mana pilihan mereka juga jelas dengan alasan kukuh. Paling penting, watak setiap seorang ditulis supaya mereka mempunyai screentime yang mencukupi dan memorable sehinggakan watak kecil Sharon Carter (Emily VanCamp) & Scott Lang/Ant-Man (Paul Rudd) juga nampak ''besar".

Bukan mudah untuk mentafsir dan menulis semula apa yang ada dalam komik untuk ke layar perak, tetapi penulis layar Christopher Markus dan Stephen McFeely berjaya membawa karya terbaik Mark Millar tanpa mencemarkan ketulenannya. Ini adalah bukti penulisan ringkas tapi bijak tanpa menokok tambah atau nak tunjuk pandai. Filem ini ada plot twist tetapi tidak seperti plot twist yang terus mensia-siakan watak Mandarin dalam filem IRON MAN 3 (2013). Filem ini ada drama tetapi tidak drama melerek seperti ceramah agama Ustaz Ultron.

Walaupun semua superhero dalam komik tidak dapat ditonjolkan dalam filem, terutama sekali Fantastic Four yang merupakan tunjang komik Civil War, elemen-elemen penting dalam komik masih diterapkan walaupun mempunyai sedikit perubahan. Tanpa memberi spoiler sebagai contoh: ada babak pengganti kenapa Sue dan Johnny Storm berubah hati menyertai kumpulan anti-Registration dan juga surat menyentuh perasaan Reed Richards. Ini dan beberapa babak kecil tapi penting sudah cukup memuaskan peminat-peminat komik yang menonton.

Filem ini juga berjaya menyelami jiwa Tony Stark yang kita tidak boleh nak faham walaupun sudah ada 3 cerita Iron Man sebelum ini. Penderitaan yang ditanggung dapat dirasai, kekecewaan dan kemarahannya bersebab. Sama juga ke atas penjahat dalam filem ini, jelas kenapa Zemo (Daniel Brühl) dan Winter Soldier bertindak sedemikian, bukan kejahatan tak masuk akal macam Darren Cross/Yellowjacket dalam ANT-MAN.

Akhir kata, walaupun berdurasi 146 minit, filem ini tidak terasa panjang atau melerek dan pengarah Russo Brothers berjaya membawa kembali Marvel Cinematic Universe (MCU) ke landasan yang benar, bukan sahaja hero kucar-kacir bawah naungannya sendiri tetapi hero luar ''kawasan" seperti Spider-Man. Mereka juga tidak terburu-buru mahu menunjukkan kesemuanya dalam satu filem seperti BATMAN v SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE kerana sudah mempunyai perancangan lengkap untuk meneruskan Phase 4 MCU. Dengan itu, peminat dan penonton boleh menarik nafas lega kerana kemuncak AVENGERS: INFINITY WAR - PART I dan II nanti nampak agak terjamin diterajui Russo Brothers.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Walaupun CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR berdurasi 146 minit, arahan Russo Brothers tidak membuatkan filem ini terasa panjang atau melerek.

No comments: