Ulasan: THE JUNGLE BOOK (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Tuesday, 5 April 2016

Ulasan: THE JUNGLE BOOK (2016)


Filem live-action THE JUNGLE BOOK mengisahkan kehidupan seorang anak hutan bernama Mowgli (Neel Sethi) yang dibesarkan oleh sekelompok haiwan liar termasuk sekumpulan serigala bernama Raksha (suara Lupita Nyong'o) dan Akela (suara Giancarlo Esposito), harimau kumbang bernama Bagheera (suara Ben Kingsley) dan beruang bernama Baloo (suara Bill Murray). Akibat dari ancaman seekor harimau bernama Shere Khan (suara Idris Elba), Mowgli dipaksa meninggalkan hutan yang sudah sekian lama menjadi tempat tinggalnya untuk pulang ke kampung bersama kaum manusia.


ULASAN: Sebut saja remake filem-filem kesayangan ramai keluaran Disney, ramai akan mengeluh panjang teringatkan perasaan berbelah bahagi semasa menonton MALEFICENT (2014) ataupun OZ: THE GREAT AND POWERFUL (2013). Kebanyakan pengarah dan penulis terkejar-kejar untuk mendapatkan hasil lebih baik daripada adaptasi asal tetapi mereka lupa tentang menjaga intipati filem-filem klasik yang sudah sebati dalam jiwa penonton. Adakah pengarah Jon Favreau akan mengikut jejak pengarah-pengarah lalu menempa nama tanpa memahami perasaan peminat?

Buku karya asal novel Rudyard Kipling ini sudah pun menjalani pelbagai adaptasi selepas versi animasi klasik 1967 melalui filem live-action THE JUNGLE BOOK (1994) dan sekuel animasi THE JUNGLE BOOK 2 (2003). Kesilapan kedua-dua versi ini gagal menarik perhatian penonton adalah cubaan memperbanyakan karakter manusia dari binatang sekaligus menghilangkan keistimewaan asal yang ada pada THE JUNGLE BOOK.

Kebijaksanaan Jon Favreau jelas terlihat apabila dia mengarah filem ini dari mata seorang kanak-kanak, mementingkan details dalam setiap babak tetapi tidak melampaui batas. Sebagai seorang pengarah yang pernah membuat filem aksi seperti IRON MAN (2008) ataupun komedi drama CHEF (2014), dia tidak terbawa-bawa ciri filem terdahulu dalam filem ini. Dia cuba pengarahan secara klasik dengan mendekatkan kita pada setiap karakter walaupun hampir kesemuanya watak CG, lalu mempamerkan cerita secara jelas dan pengakhiran yang sangat memorable.

Favreau menokok nambah beberapa babak tetapi dia juga bijak menggabungkan versi animasi klasik 1967 dan buku kedua Kipling The Second Jungle Book. Buat pertama kali, babak water truce dilakukan dengan cantik dan terancang membuatkan pengenalan watak Shere Khan lebih berkesan dan menakutkan serta perubahan musim yang menambahkan debaran. Flashback bagaimana Mowgli tertinggal keseorangan di hutan juga digarapkan dengan baik melalui jelingan memukau ular sawa Kaa (suara Scarlett Johansson). Namun pujian tertinggi perlu diberi kepada pengenalan watak orang utan King Louie (suara Christopher Walken), di mana Favreau menyelitkan satu simbol komedi ikonik yang membuatkan penonton yang mengikuti karier Wlaken pasti tersenyum gembira dengan tribute cukup berkesan.

Lakonan Neel Sethi sebagai pendatang baru amat membanggakan. Kejujuran dan mungkin juga kekurangan pengalaman membuatkan laknonannya amat bersahaja semasa berinteraksi dengan karakter-karakter CG. Pelakon-pelakon suara juga hebat kerana mereka bukan saja menggunakan suara asal malah melakonkan watak baru melalui suara mereka, sehinggakan anda hampir tidak kenal suara Bill Murray dan Idris Elba pada mulanya.

Kualiti kesan khas persekitaran dan CG watak haiwan jauh lebih hebat dari apa yang pernah kita terpesona melalui LIFE OF PI (2012) membuktikan pasukan kesan khas betul-betul mengkaji setiap haiwan dari segi pergerakan, aksi perlawanan dan sehinggakan kehalusan bulu di badan mereka. Teknologi motion-capture digabung dengan permainan sinematografi Bill Pope, membuatkan filem penuh keajaiban visual ini wajib ditonton dalam pawagam IMAX 3D!

Dua aspek penting membuatkan penceritaan versi THE JUNGLE BOOK ini lebih baik dan berkesan daripada versi 1967 adalah:

1) Dendam Shere Khan dalam versi ini lebih bersebab dan jelas berbanding versi 1967, malah kemarahannya lebih mudah difahami dan bukan saja-saja mahu makan daging manusia.

2) Kesilapan utama versi 1967 ialah perubahan mendadak Mowgli yang baru bersedih akibat kecederaan Baloo tetapi tiba-tiba melupakan rakan-rakan rimbanya apabila ternampak budak perempuan cantik di tepi sungai. Versi kali ini dapat menepis sifat "gatal" Mowgli dan mengurangkan elemen godaan yang asalnya pada 1967 untuk tontonan kanak-kanak. Penulis screenplay Justin Marks yang pernah menjahanamkan STREET FIGHTER: THE LEGEND OF CHUN-LI (2009) membuktikan dia masih mempunyai harapan dalam dunia perfileman, syukurlah sebab dia juga bakal menjadi penulis TOP GUN 2.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Keagungan visual dan lakonan mantap dalam filem live-action THE JUNGLE BOOK arahan Jon Favreau wajib ditonton dalam pawagam IMAX 3D!

No comments: