Ulasan: GHOSTBUSTERS (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Friday, 15 July 2016

Ulasan: GHOSTBUSTERS (2016)

Ulasan: GHOSTBUSTERS (2016)

Kisah bermula bila Professor Erin Gilbert (Kristen Wiig) dari Princeton mendapat tahu rakan sekolah menengahnya Abby Yates (Melissa McCarthy) masih mengguna namanya untuk menjual buku lama keluaran mereka atas talian. Semasa mencari bukti kewujudan paranormal bersama kaki teknologi Jillian Holtzmann (Kate McKinnon), semangat Erin yang telah lama pudar hidup kembali. Disertai pekerja keretapi bawah tanah Patty Tolan (Leslie Jones) & bersama dengan penyambut tetamu kurang bijak, Kevin (Chris Hemsworth) mereka cuba merungkai misteri yang menghantui bandar New York. 


ULASAN: Selepas mengecam peminat-peminat GHOSTBUSTERS sedunia yang mencintai filem ini selama 32 tahun dengan propaganda misogyny yang cuba dipermainkan, berjayakah Paul Feig membuktikan kepada dunia yang filem arahannya lebih bagus dari rungutannya dalam Twitter?

Agak susah untuk kita tidak membezakan filem ini dengan filem GHOSTBUSTERS terdahulu kerana penulisannya mengikuti acuan filem tahun 1984: Tiga pensyarah universiti yang dibuang kerja, Datuk Bandar (Andy Garcia) & pembantunya (Cecily Strong) yang menyakitkan hati, sehingga ke rumah bomba ikonik yang diacah awal penceritaan. Perbezaan hanya dapat dilihat pada pengenalan watak penjahat Rowan North (Neil Casey) tapi sampai kredit akhir tamat kita tak pasti kenapa dia bertindak sedemikian. 

Untuk filem yang melaungkan equality, kenapa watak Patty Tolan hanya seorang pekerja pengangkutan awam? Kenapa tidak jadi seorang pemegang Ph.D. seperti watak-watak lain? Seorang pensyarah pakar sejarah tempatan boleh berjumpa hantu semasa naik tren bawah tanah kan? Jadi ayat “I don’t know if it’s a race thing or a lady thing, but I’m pissed.” yang ada dalam treler tu sebenarnya dituju pada Paul Feig ke?

Ada yang cakap orang Asia tak faham lawak jenaka Amerika, tetapi hairannya kalau ada European atau French Film Festival, kena baca subtitles sekali pun kita masih tergelak terbahak-bahak? Jadi lawak filem GHOSTBUSTERS ni kurang berkesan ataupun skripnya terlalu syiok sendiri macam filem-filem Paul Feig sebelumnya? Kalau begitu, sudah masanya untuk mereka berfikir membuat jenaka taraf antarabangsa untuk filem seterusnya.

Watak Jillian Holtzmann sekali sekala berjaya menawan hati penonton sebagai nerd & pereka peralatan menangkap hantu walaupun peralatan kali ini tidak se-ikonik peralatan dahulu. Watak dumb blond Chris Hemsworth ada disitu hanya untuk menarik perhatian penonton wanita dengan idea reverse sex symbol sehingga dia pun ada dalam poster, tidak lebih dari itu. 

Penulis Katie Dippold dan Feig juga gagal mengeksplorasi satu babak yang boleh menandingi filem asal. Sewaktu Kevin disampuk hantu, situasi akan lebih menarik jika dia digandingkan dengan watak Erin; mungkin hantu dalam dalam Kevin menyukai Erin atau Erin merasai godaannya terbalas. Ini mungkin boleh menandingi babak asal antara Dana Barrett (Sigourney Weaver) dan Louis Tully (Rick Moranis) yang pernah menjadi mangsa sampuk, MUNGKIN.

Akhir kata, reboot GHOSTBUSTERS ini mempunyai entertainment value dan tidak seburuk yang kita lihat dalam trelernya. Filem komedi ringan ini sepatutnya boleh berdiri sendiri jika mempunyai penceritaan yang 100% berbeza dari filem asal tahun 1984. Watak-watak wanita sepatutnya mempunyai chemistry yang lebih baik dari pelakon-pelakon lelaki zaman dulu dan lebih mencuri hati penonton tetapi hanya Erin Gilbert dan Jillian Holtzmann mempunyai daya tarikan. Pujian harus diberikan kepada idea dan usaha pelakon-pelakon asal tahun 1984 dan 1989 kembali memberi sokongan melalui watak cameo mereka yang pendek tetapi berkesan. Tiga nasihat: saksikan filem ini dalam 3D atau IMAX untuk mendapat kepuasan visual, tunggu sehingga ending credit habis dan tontonlah filem ini sebagai filem baru kerana ia bukanlah penyambung legasi yang kita harap-harapkan.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Filem reboot GHOSTBUSTERS arahan Paul Feig mempunyai beberapa entertainment value yang tersendiri, walaupun kebanyakan watak-watak utamanya serta jalan cerita dan element komedinya kurang berkesan.

No comments: