Ulasan: RUDY HABIBIE (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Friday, 29 July 2016

Ulasan: RUDY HABIBIE (2016)

Ulasan: RUDY HABIBIE (2016)

Bacharuddin Jusuf Habibie atau Rudy Habibie (Reza Rahadian) ialah seorang pelajar genius, atas dorongan ibubapa, dia menumpukan seluruh hidupnya untuk membina sebuah kapal terbang dengan harapan untuk menyatukan kesemua kepulauan Indonesia. Menghadapi cabaran sukar sebagai pelajar di Aachen, German, Rudy bukan sahaja belajar membina pesawat terbang tapi juga belajar tentang erti persahabatan dengan para pelajar lain. Ilona (Chelsea Islan), pelajar keturunan Poland sangat tertarik terhadap semangat dan cita-cita Rudy memperjuangkan pelajar dan masa depan negaranya tetapi adakah Rudy akan meninggalkan segalanya untuk Ilona?


ULASAN: Pengarah Hanung Bramantyo mengambil tanggungjawab besar dari Faozan Rizal yang berjaya menarik 4.7 juta penonton ke pawagam menonton HABIBIE & AINUN (2012). Jikalau filem pertama lebih terperangkap dalam memoir penulisan BJ Habibie, filem kedua memberi ruang kebebasan untuk penulis Ginanti S. Noer & Hanung untuk menjadi lebih kreatif dalam olahan penceritaan.

Filem 2012 itu sebenarnya agak sarat dengan plot politik yang menjurus kearah sebuah biopic tetapi filem prekuel ini mendekatkan lagi penonton dengan Rudy. Langkah terpuji penulis apabila mengetengahkan semangat kesatuan pelbagai kaum, watak Liem Keng Kie (Ernest Prakasa) sebagai pelajar Cina memberi kesan yang mendalam atas jurang perbezaan kaum yang jarang kelihatan dalam sinema Asia. Untuk agama pula, Islam dalam penceritaan yang dimulakan dari famili Rudy juga dapat diolah dengan baik sekali dari zaman kecilnya sehingga masalahnya menunaikan solat di Aachen yang berjaya menyentuh perasaan.

Satu lagi langkah berani ialah penguasaan fahaman politik terhadap pelajar-pelajar yang menerima biasiswa. Dilema yang sangat jelas hanya kerana pasport Rudy berlainan warna dari kawan-kawannya, membolehkan dia bersuara lantang tetapi yang lain terpaksa menutup mulut. Ini juga membuktikan bahawa orang yang mahu menjatuhkan siswa di negara asing bukan orang luar tetapi rakyat negara sendiri.

Kita semua sedia tahu dengan bakat hebat Reza Rahadian tetapi dia menjiwai watak Rudy dengan baik membuatkan kita rasa sebak melihat cabaran yang dihadapinya di negara asing. Berbeza dengan filem pertama yang hanya mementingkan lakonan Reza dan Bunga Cinta Lestari, RUDY HABIBIE dengan bijak memberi screentime mencukupi kepada watak-watak lain membuatkan filem ini bukan sekadar filem cinta. Poltak (Boris Bokir) memberi sentuhan komedi, Ayu (Indah Permatasari) hampir menjadi cinta tiga segi, Peter (Pandji Pragiwaksono) pelajar senior yang menjaga siswa muda dan Ilona (Chelsea Islan) yang bukan saja kekasih tetapi kekuatan semangat Rudy. 

Akhir kata, walaupun jarak masa filem pertama dan filem ini hanya tiga tahun, tetapi kualiti produksinya bertambah baik berlipat kali ganda menunjukkan peningkatan dalam industri perfileman Indonesia. Sebagai rakyat Malaysia, menonton RUDY HABIBIE anda dapat merasakan semangat patriotik yang tinggi kerana ia sebuah filem yang memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menimba ilmu dan kembali membantu tanahair sendiri. Kepelbagaian kaum dan bangsa juga menjadi tunjang kekuatan cerita kerana berjaya menyatukan Bugis, Batak, Solo, bangsa Cina dan rakyat Poland untuk mempertahankan hak pelajar-pelajar Indonesia. Ia mempunyai kekuatannya tersendiri sehinggakan jika anda belum menonton filem HABIBIE & AINUN, filem ini dapat berdiri tanpa bantuan filem pertama.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Walaupun jarak masa filem pertama dan filem ini hanya tiga tahun, tetapi kualiti produksi dalam RUDY HABIBIE bertambah baik berlipat kali ganda menunjukkan peningkatan dalam industri perfileman Indonesia.

* Saksikan RUDY HABIBIE dipawagam berhampiran anda mulai 4 Ogos 2016 edaran Antenna Entertainments Sdn. Bhd. 

No comments: