Ulasan: STAR TREK BEYOND (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Tuesday, 26 July 2016

Ulasan: STAR TREK BEYOND (2016)

Ulasan: STAR TREK BEYOND (2016)

STAR TREK BEYOND mengisahkan kru USS Enterprise di tahun ketiga dalam misi lima tahunnya, menyiasat satu panggilan kecemasan lalu melancarkan misi menyelamat. Tanpa disedari mereka memasuki perangkap yang dipasang oleh Krall (Idris Elba) akibat dendamnya terhadap Starfleet.


ULASAN: Jeritan Beastie Boys, merempit motor di angkasa lepas, lagu Rihanna dan mainan isu gay cukup membimbangkan penonton STAR TREK BEYOND. Bolehkah Justin Lin menepis semua tanggapan dan memecut laju memecah box office

Peminat atau Trekkie yang boleh menerima reboot STAR TREK (2009) punyai masalah besar dengan STAR TREK INTO DARKNESS apabila pengarah J.J. Abrams menggunakan ring theory yang diulang guna dalam STAR WARS: THE FORCE AWAKENS tetapi tindakannya hampir menghancurkan penjahat paling ikonik dalam sejarah STAR TREK tidak boleh dimaafkan sampai bila-bila.

Di situ kita lihat kepincangan filem ini yang masih mengekalkan aspek balas dendam dalam penceritaan sama dengan Nero & John Harrison/Khan. Ini sudah filem ketiga tetapi masih dibelenggu dengan penulisan gaya lama sedangkan boleh saja cuba cipta penjahat baru yang pure evil seperti Borg dan Klingon yang mahu menakhluk dan menghancurkan musuh.

Permulaan pengenalan watak Captain Kirk (Chris Pine) juga agak pelik, dia masih lagi mempunyai emosi dalaman mengingati ayahnya walaupun isu itu boleh mainkan dalam filem seterusnya apabila Chris Hemsworth akan kembali. Kirk kelihatan letih dan lesu membuatkan krew yang lain juga mengikut kepimpinannya terutama sekali Spock (Zachary Quinto) dan Uhura (Zoe Saldana) yang punyai masalah tersendiri. Ini baru tahun ketiga dalam misi tapi semua dah down habis berbanding dengan kru The Original Series yang sampai tua pun masih bersemangat. Cuba tanya kru siri tv Star Trek Voyager, tabah selama 7 tahun mencari jalan pulang dari 70,000 light-years dari bumi.

Watak yang paling berkesan kali ini ialah gandingan Spock dan Dr. Bones (Karl Urban) yang mengembalikan zaman nostalgia dengan sikap benci tapi sayang. Watak-watak the magnificent seven yang lain gagal diketengahkan, membuatkan pengenalan gay Sulu (Jon Cho) dan mendiang Anton Yelchin yang mati akibat kemalangan baru-baru ini sangat hambar kerana screentime yang agak terhad. Penulisan watak mereka tidak sehebat watak-watak lama yang kekal dalam fikiran penonton seperti George Takei menewaskan musuh yang saiz jauh besar darinya, Nichelle Nichols menari bogel untuk melalaikan musuh (STAR TREK V: THE FINAL FRONTIER) atau Walter Keonig mencari nuclear wessels (STAR TREK IV: THE VOYAGE HOME). Watak lama lebih menekankan unity dalam mencari solusi bukan kisah cinta sesama sendiri.  

Watak Jaylah (Sofia Boutella) berjaya mencuri hati penonton dan boleh menjadi calon pengganti mendiang Anton Yelchin sebagai tactical officer Enterprise. Berbeza dengan Idris Elba yang menjadi penjahat yang mudah dilupakan walaupun punyai pengalaman lakonan yang memberangsangkan. Watak Krall tidak memberi sebarang impak disebalik make-up tebal dan plot-twist yang kononnya mengejutkan.

Ternampak sedikit dinamik dalam pengarahan Justin Lin yang berjaya keluar dari kepompong FAST AND FURIOUS tetapi dia amat terbawa-bawa gaya arahannya lamanya ke dalam filem ini. Mainan kamera yang sangat laju, close-up dalam aksi pertempuran dan babak yang terlampau gelap membuatkan penonton tidak dapat menghayati keistimewaan yang selalu dilihat dalam filem science fiction. Pacing yang laju berjaya tidak membosankan penonton tetapi terlalu laju hingga banyak babak tak dapat dihargai atau difahami. 

Sikap Lin yang suka menghancurkan kapal angkasa seperti kereta racing mahal juga menjadi tanda tanya. Kru The Original Series hanya kehilangan Enterprise sewaktu filem STAR TREK III: THE SEARCH FOR SPOCK akibat kerosakan sedia ada dari pertempuran filem sebelumnya, bertahun-tahun lamanya selepas misi 5 tahun berakhir. Kalau baru 3-4 tahun mengemudi Enterprise dah jahanam membuatkan kredibiliti kru ini boleh dipertikaikan.

Akhir kata, skrip penulisan Simon Pegg and Doug Jung berjaya mengembalikan semangat penjelajah angkasa tradisi dan kali ini membuat kru Enterprise baru ini berdiri dengan sendiri tanpa bantuan Spock Prime setiap kali behadapan dengan masalah, itu pun mungkin kerana Leonard Nimoy meninggal dunia. Kesan visual yang sangat baik dapat dilihat terutama sekali babak melibatkan Starbase Yorktown & Enterprise berhadapan dengan gerombolan musuh. Untuk sedia kekal hidup dalam dunia Star Trek JJVerse, idea dan penulisan lebih kreatif amat perlu untuk menarik perhatian penonton baru dan peminat lama ditambah pula kemunculan siri tv Star Trek: Discovery tahun depan juga akan menjadi ancaman masa depan filem STAR TREK.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Walaupun STAR TREK BEYOND masih dibelenggu dengan cerita balas dendam yang sama dengan reboot dan sekuelnya, filem ini ada beberapa aspek kebaikannya dalam kesan visual dan pengarahan yang agak dinamik.

No comments: