Ulasan: SHIN GODZILLA シン・ゴジラ (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Monday, 26 September 2016

Ulasan: SHIN GODZILLA シン・ゴジラ (2016)

Ulasan: SHIN GODZILLA シン・ゴジラ (2016)

Akibat serangan misteri yang menenggelamkan Tokyo Bay, Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Rando Yaguchi (Hiroki Hasegawa), Duta Khas Jepun-Amerika untuk Presiden Amerika Syarikat, Kayoko Ann Patterson (Satomi Ishihara) dan Pembantu Perdana Menteri Hideki Akasaka (Yutaka Takenouchi) yang sering tidak bersependapat, perlu bekerjasama dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Jepun lain untuk merancang sesuatu bagi menyelamat negara dan mungkin dunia dari ancaman penghapusan dari raksasa bergelar Godzilla.


ULASAN: Setelah dua cubaan meng-Hollywood-kan raksasa paling popular Jepun pada tahun 1998 dan 2014, Godzilla kini kembali kepada Toho Pictures setelah berehat selama 12 tahun membawa lebih kemusnahan dalam reboot terbaru yang kembali ke negara asalnya.

Filem ini berjaya mengembalikan nostalgia sinema kaiju klasik dengan penggunaan bunyi serta muzik asal Godzilla oleh Akira Ifukube dan gabungan lama dan baru dalam karakter raksasa melalui campuran sut patung + animatronic + teknologi motion capture. Peminat yang menonton filem-filem terawal Godzilla pasti menghargai elemen yang diterapkan oleh dua pengarah Hideaki Anno (Neon Genesis Evangelion) dan Shinji Higuchi (Attack on Titan).

Pada mulanya, idea mengikut jejak filem klasik ini nampak baik tetapi lama kelamaan ia menjadi terlalu sarat untuk minda penonton. Jika filem-filem klasik perlu banyak lakonan manusia dari raksasa, ia adalah kerana bajet yang terhad untuk screentime panjang untuk Godzilla, akan tetapi lakonan pelakon dulu amat baik dan berjaya menarik perhatian penonton. Pelakon-pelakon utama SHIN GODZILLA pula kadang-kadang nampak overacting tanpa sebab.

Ulasan: SHIN GODZILLA シン・ゴジラ (2016)

Pilihan untuk menjadikan filem ini terlalu teknikal juga agak menghairankan. Mungkin penonton yang memahami bahasa Jepun tiada masalah tetapi kadang-kadang satu skrin penuh dengan 3 sarikata berlainan sampai tidak tahu nak baca mana satu. Bayangkan bagaimana setiap anggota kabinet Jepun perlu bersuara dalam mesyuarat demi mesyuarat demi mesyuarat dalam mencapai kata sepakat untuk langkah seterusnya dan anda perlu membaca nama, pangkat, jabatan dan dialog setiap seorang. Sedihnya, 60% dari karakter ini ada screentime kurang 10 saat saja dalam keseluruhan filem.

Memang pengarah cuba menunjukkan realiti para pemimpin negara menghadapi tragedi besar tapi tak perlulah pamerkan segala prosedur kerajaan, istilah birokrasi dan satira politik supaya filem ini nampak bijak. Dalam mengikut jejak filem klasik, pengarah gagal dalam satu perkara penting dalam human story yang ada dalam hampir setiap filem Godzilla: tidak ada seorang pun menteri, pakar atau saintis yang cuba hubungi keluarga untuk mengetahui keselamatan mereka.

Kepujian tertinggi perlu diberi kepada produksi yang berjaya membuatkan Godzilla kali ini paling ganas dalam sejarah filemnya. Kuasa dan tahap kemusnahan Godzilla ini amat dahsyat sehinggakan penonton rasa cemas dan berdebar dengan cara ia menentang serangan demi serangan serta membuatkan manusia hilang harapan menangani ancamannya.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

SHIN GODZILLA merupakan raksasa paling digeruni dalam sejarah tetapi memerangkap diri menjadi filem satira politik yang berat dengan dialog dan ungkapan teknikal walaupun kameo dari kalangan pelakon-pelakon terhebat Jepun.

* Saksikan SHIN GODZILLA dipawagam berhampiran anda mulai 22 September 2016 edaran TGV Pictures Sdn. Bhd. 

No comments: