Ulasan: DOCTOR STRANGE (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Saturday, 29 October 2016

Ulasan: DOCTOR STRANGE (2016)

Ulasan: DOCTOR STRANGE (2016)

Berikutan kemalangan kereta yang dahsyat yang melumpuhkan kedua-dua tangannya, kerjaya pakar bedah otak yang Stephen Strange (Benedict Cumberbatch) hancur dan segala wangnya habis kerana mencuba setiap perubatan eksperimen untuk menyembuh tangannya. Apabila semua perubatan Barat gagal, dia pergi mencari lokasi Kamar-Taj di Kathmandu, Nepal yang pernah memulihkan seorang mangsa lumpuh (Benjamin Bratt). Dia bertemu Mordo (Chiwetel Ejiofor) dan gurunya Ancient One (Tilda Swinton), yang mengajar Strange seni sihir dan mistik. Kemunculan penjahat Kaecilius (Mads Mikkelsen) membawa ancaman terhadap Kamar-Taj dan juga keselamatan bumi.


ULASAN: Penataan seni DOCTOR STRANGE adalah elemen terbaik yang pernah dilihat berbanding filem Marvel yang lain kerana tidak berharap pada letupan dan kemusnahan semata-mata. Pada awal, visualnya berjaya memberi homage pada seni psychedelic 60'an ciptaan Steve Ditko yang penuh warna warni. Kemudian, meminjam konsep dari filem INCEPTION oleh Christopher Nolan, bandar New York berubah menjadi medan perang kaleidoscope putaran konkrit dan besi yang mengagumkan!

Benedict Cumberbatch adalah pilihan tepat menjadi Stephen Strange, dia berkata near-death experience menjejaki tanah tinggi Tibet pada umur 19 tahun membantu dia hayati watak Strange. Bermula dengan keangkuhan yang kita sering lihat dari siri tv Sherlock kemudian jalani proses perubatan selepas kemalangan dan selepas itu, menjadi seorang pelajar yang dahagakan ilmu tetapi pandai berjenaka.

Penonton juga dapat melupakan isu "whitewashing" yang memutihkan Ancient One dengan alsasan penonton China benci Tibet dan menghitamkan Karl Mordo yang dalam komik berasal dari Transylvania. Lakonan Tilda Swinton dan Chiwetel Ejiofor adalah kekuatan utama dalam pemilihan filem ini hinggakan karisma Swinton kadang-kadang lebih hebat dari Cumberbatch.

Ulasan: DOCTOR STRANGE (2016)

Pengarah Scott Derrickson yang tenggelam timbul dengan seleksi filem-filem seram sebelum ini boleh mendapat pujian kerana membawa sedikit kelainan kepada Marvel Cinematic Universe (MCU) akan tetapi tidak terlepas mengikut acuan selamat dalam plot origin story Marvel yang lebih kurang sama dengan tragedi yang menimpa Tony Stark sebelum menjadi Iron Man.

Soundtrack filem ini yang sepatutnya lebih bersifat mistikal berubah menjadi filem fiksyen sains kerana komposer Michael Giacchino terikut-ikut dengan runut bunyi filem STAR TREK sehingga penonton tertunggu-tunggu jika Cumberbatch akan mengaku dirinya Khan.

*Amaran Spoiler*

Walaupun mempunyai tiga orang penulis, filem ini punyai beberapa kelemahan kecil. Sama seperti beberapa filem Marvel yang lain, penulisan watak penjahatnya agak lemah. Mads Mikkelsen berjaya membawa karakter Kaecilius dengan baik tapi elemen pendorong kejahatannya tidak cukup kuat dan jelas sama seperti Darren Cross (ANT-MAN) dan Aldrich Killian (IRON MAN 3). Babak klimaks juga boleh dibaca penonton yang meminati filem atau novel science fiction/fantasi kerana plot memutarkan waktu boleh dibaca beberapa kilometer jauhnya. Kita perlu berterima kasih pada penulis Jon Spaihts kerana sifat ketidaktentuan ini dapat dilihat dalam filem awalnya seperti PROMETHEUS dan THE DARKEST HOUR yang mahu pengakhiran yang grand tapi gagal melaksanakannya dengan baik. Contoh paling jelas: ancaman Dormammu tidak ubah seperti penjahat kualiti kepulan asap Parallax (GREEN LANTERN) dan Galactus (FANTASTIC 4: RISE OF THE SILVER SURFER).

*Penutup Spoiler*

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

DOCTOR STRANGE terperangkap dalam acuan origin story superhero yang sering diulang pakai sebelumnya tetapi masih berjaya memberi kepuasan melalui visual menarik, aksi menghiburkan dan lakonan memukau Benedict Cumberbatch.

No comments: