Ulasan: DEATH NOTE: LIGHT UP THE NEW WORLD (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Friday, 9 December 2016

Ulasan: DEATH NOTE: LIGHT UP THE NEW WORLD (2016)

Ulasan: DEATH NOTE: LIGHT UP THE NEW WORLD (2016)

10 tahun selepas kes ditutup, Dewa Kematian mengarahkan 6 buku Death Note dijatuhkan ke bumi untuk mencari pengganti Kira. Dengan penggunaan teknologi siber, lebih banyak kematian misteri berlaku seluruh dunia dengan khabar angin Kira sudah kembali apabila sebuah video rakaman ucapan Light Yagami tersebar. Death Note Task Force ditubuhkan semula diketuai Tsukuru Mishima (Masahiro Higashide) bersama dengan pengganti L, Ryuzaki (Sosuke Ikematsu) yang punyai DNA penyiasat terkemuka itu.  Pengganas siber bernama Yuki Shien (Masaki Suda) bertekad mendapatkan keenam-enam Death Note dan untuk menjayakan rancangannya dia meminta bantuan pelakon Misa Amane (Erika Toda).


ULASAN: Nasihat pertama: Tolong pergi tengok ketiga-tiga filem sebelum ini untuk memahami keseluruhan penceritaan kerana filem ini behubung kait dengan filem sebelumnya. Kepada peminat DEATH NOTE, filem ini sangat mudah dihadam kerana kita perlu menumpukan perhatian kepada plot sekarang tetapi tanpa mengetahui pengetahuan asas anda mungkin hilang arah di tengah jalan.

Pengarah Shinsuke Sato dan penulis layar Katsunori Mano berjaya mengembalikan memori manis dengan penggunaan flashback dan membawa kembali sebanyak mungkin pelakon dan pelakon suara dari filem asal Death Note, walaupun Erika Toda dan Sota Aoyama muncul sebagai watak kecil mereka masih memberi impak kepada penceritaan. Kehebatan penyiasatan dan misterinya setanding dengan filem terawal, ditambah beberapa kejutan dengan kecantikan visual melalui teknologi perfileman tahun 2016, penonton akan sentiasa terpaku kepada setiap babak yang dihidangkan. Kepujian perlu diberi apabila kisah Misa Amane berjaya dilengkapkan dengan cara paling cantik sehingga menyentuh perasaan penonton.

Ulasan: DEATH NOTE: LIGHT UP THE NEW WORLD (2016)

Dalam keterujaan Sato dan Mano, mereka lupa apakah elemen utama yang menjayakan filem pertama iaitu percaturan minda antara Kira yang mahu menutup rahsia dan L yang cuba membongkar kebenaran. Kali ini percaturannya lebih kepada fizikal dan teknologi membuatkan keistimewaan DEATH NOTE itu hilang keberkesanannya. Untuk menambahkan tekanan, beberapa plot sampingan dimasukkan tetapi ia membebankan cerita yang sudah penuh sarat. Watak Ryuzaki dan Yuki Shien pula tidak sehebat lakonan Tatsuya Fujiwara dan Kenichi Matsuyama sehingga banyak babak kelihatan mereka overacting. Erika Toda dalam satu temuramah pernah berkata, dua filem DEATH NOTE pertama adalah lakonan paling mencabar dan menguji ketahanan mentalnya kerana ketegasan pengarah Shūsuke Kaneko terhadap para pelakon. Mungkin ketegasan ini tidak ada dalam Sato dalam membimbing pelakon-pelakon muda.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

DEATH NOTE: LIGHT UP THE NEW WORLD masih mantap untuk dijadikan lembaran baru atau pengakhiran sebelum Hollywood membuat remake "white wash" tahun depan tetapi tidak dapat menandingi kehebatan filem tahun 2006.

No comments: