Ulasan: PASSENGERS (2016) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Saturday, 31 December 2016

Ulasan: PASSENGERS (2016)


Kapal Angkasa Avalon yang dalam perjalanan ke dunia koloni Homestead II alami kerosakan dan Jim Preston (Chris Pratt) mendapati dia dibangunkan dari tidur hibernasi 90 tahun awal dari penumpang lain. Hidupnya semakin tak keruan kerana hidup keseorangan bertemankan robot pekerja bar, Arthur (Michael Sheen). Satu hari Jim jatuh cinta dengan Aurora (Jennifer Lawrence) dan mengambil keputusan mengejutkan dia dari tidur hibernasi.


ULASAN: Filem yang bermula dengan visual yang mengagumkan bila penonton disajikan pemandangan keseluruhan kapal Avalon dan Jim cuba mencari punca kenapa dia dibangunkan lebih awal dari penumpang lain berjaya membuat penonton terpaku pada skrin tetapi lama kelamaan menjadi bosan kerana benda sama diulang-ulang tanpa sebarang jawapan. Kemunculan Aurora yang sepatutnya memberi semangat pada Jim pula menjadi hambar kerana masih mengekalkan dirinya sebagai seorang penulis/wartawan berbanding Jim yang cuba mencari jalan untuk menyesuaikan diri supaya kekal hidup dalam Avalon.

Dengan elemen romantis yang tak menjadi akibat kekurangan chemistry antara Pratt dan Lawrence, filem ini semakin melerek-lerek sehingga watak ketiga terpaksa diperkenalkan untuk menyelamatkan Avalon dan menjadi perunding perkahwinan pada Jim dan Aurora. Kehebatan filem ini musnah disitu, plot survival Jim dan Aurora bertukar sekelip mata kerana mereka bukan saja gagal menyelamatkan kapal tetapi gagal menyelamatkan percintaan mereka sendiri. Rekaan set dan CG pada awalnya menarik lama-lama tak ubah seperti rekaan dalaman shopping mall kerana sering diguna pakai berkali-kali.

Punca segala masalah ini bukan datangnya dari pengarah Morten Tyldum yang pernah mendapat pencalonan Oscar dalam filem THE IMITATION GAME tetapi penulis Jon Spaits yang mengamalkan penulisan berterabur tanpa haluan sama seperti filem fiksyen sains terawalnya THE DARKEST HOUR dan PROMETHEUS. Namun begitu, bukti terpenting ialah penonton semakin bijak dan syarikat penerbitan boleh berhenti menjual wajah cantik dalam sesebuah filem walaupun dengan gaji besar Jennifer Lawrence US$20 juta dan Chris Pratt US$12 juta, kehebatan mereka masih gagal memenangi hati penonton.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Penulisan tanpa haluan dan kekurangan chemistry di antara Chris Pratt dan Jennifer Lawrence adalah punca utama yang menyebabkan filem PASSENGERS terkandas di angkasa lepas. 

No comments: