Ulasan: GHOST IN THE SHELL (2017) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Friday, 31 March 2017

Ulasan: GHOST IN THE SHELL (2017)

Ulasan: GHOST IN THE SHELL (2017)

Seorang remaja pendatang asing Mira Killian (Scarlett Johansson) hampir mati lemas setelah serangan pengganas ke atas kapal yang dinaiki, otak Mira diletak kedalam badan android serba canggih oleh Dr Ouelet (Juliette Binoche). Setahun kemudian, Major Mira giat membenteras penjenayah siber Kuze (Michael Carmen Pitt) yang membunuh satu demi satu pekerja Hanka Corporation iaitu syarikat yang mencipta Mira. Semakin dalam kumpulan anti pengganas Section 9 menyiasat, semakin terbongkar rahsia syarikat membuatkan Major Mira mempertikaikan kewujudan dirinya.


ULASAN: Tidak perlu membezakan GHOST IN THE SHELL (GITS) dengan filem BLADE RUNNER (1982) atau THE MATRIX (1999) kerana ia boleh berdiri dengan kuat dengan 57 episod siri TV, 4 filem dan 3 penerbitan bercetak. Setiap satu karya GITS punyai banyak plot dan subplot yang meninggalkan tanda soal tetapi pengarah Rupert Sanders memilih penceritaan yang terkenal iaitu dari GITS: S.A.C. 2nd Gig - Individual Eleven.

Watak Hideo Kuze yang sangat memorable dalam anime bertukar menjadi karakter yang amat mengecewakan. Memang betul perubahan diperlukan tetapi kenapa downgrade watak hebat pejuang kebenaran yang mengetuai revolusi menjadi sekadar bayang-bayang samar dalam gelap yang sangat emo?

Walaupun melaungkan prinsip kelainan antara filem dan anime, Rupert Sanders masih mencedok babak-babak penting untuk dimasukkan ke dalam filem ini. Mungkin sebagai langkah selamat memuaskan nafsu peminat tetapi peralihan yang dilakukan pula tidak sehebat babak asal dalam anime. Babak kejar mengejar kenderaan dan aksi dalam anime jauh beza lebih hebat dari filem.

Ulasan: GHOST IN THE SHELL (2017)

Kenapa saya bold-kan ‘Setahun kemudian’? Ia adalah kepincangan terbesar dalam penceritaan. Kepakaran Makoto Kusanagi, walaupun berbadan android tercanggih di dunia sebenarnya tidak terbentuk dalam setahun. Dia melalui latihan ketenteraan bertahun-tahun lamanya seperti manusia biasa sebelum menyertai Section 9. Senang cerita, pangkat ‘Major’ sebelum nama Mira tu datang dari mana? Ataupun ianya sekadar gelaran macam ‘Mat’, ‘Minah’ atau ‘Macha’?

Kepujian perlu diberikan terhadap visual "New Port City" yang penuh warna warni melalui CG yang sangat detail. Rekaan set, kostum dan make-up juga berjaya mengembalikan kita ke dunia yang kita kenali kembali ke layar perak. Malangnya kehebatan muzik minimal tradisional + moden Kenji Kawai yang menghantui kita sejak 1995, gagal dihebatkan oleh Clint Mansell atau Lorne Balfe yang terikut-ikut gaya muzik Don Davis. Lakonan paling berkesan ialah watak Batou, walaupun sinis tetapi tidak sekelakar seperti anime, lakonan Pilou Asbæk berjaya menunjukkan persahabatan dengan Major. Lain pula dengan Scarlett Johansson yang hebat dalam UNDER THE SKIN (2013), lakonannya agak flat kali ini berbanding lakonan android lain seperti Alicia Vikander dalam EX MACHINA (2015) atau Anya Taylor-Joy dalam MORGAN (2016).

Akhir kata, GHOST IN THE SHELL live action ini cuba menjadi serius dengan dibebankan dengan skrip dan plot yang agak biasa berbanding dengan cabaran Major Makoto dan Section 9 hadapi dalam anime yang berhadapan dengan mainan politik, kotoran korupsi, penipuan media dan jenayah alam siber. Jika live-action AKIRA mahu mengikut acuan Hollywood yang sama seperti ini, saya cadangkan supaya batalkan saja niat murnimu itu.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Dari rekaan set ke kostum dan efek make-up, setiap visual yang dipaparkan dalam filem live-action GHOST IN THE SHELL memang patut dipuji, walaupun kebanyakan karekter dan hasil plot tidak begitu memuaskan.

No comments: