Ulasan: LET'S GO, JETS! チア☆ダン (2017) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Wednesday, 14 June 2017

Ulasan: LET'S GO, JETS! チア☆ダン (2017)

Ulasan: LET'S GO, JETS! チア☆ダン (2017)

Hikari Tomonaga (Suzu Hirose) mahu menyertai kelab tarian sorak untuk menarik perhatian jejaka pujaannya Kosuke Yamashita (Mackenyu). Fukui Cheerleader adalah kelab yang retak menanti belah akibat pelajar senior yang enggan mengikut ketegasan dan latihan keras oleh jurulatih Kaoruko Saotome (Yuku Amami). Saotome melantik Ayano Tamaki (Ayami Nakajo) sebagai pemimpin kelab untuk menyelia pasukan Jets dan bersiap sedia untuk bertanding di Kejohanan Kebangsaan National Dance Alliance (NDA) di Amerika Syarikat.


ULASAN: Filem ini berdasarkan kisah benar Fukui Commercial High School Cheerleader Club dan mungkin kerana tidak mahu melebih-lebih dari kisah asalnya, pengarah Hayato Kawai dan penulis Tamio Hayashi memilih cara penceritaannya sangat biasa dan terlalu cliché untuk sebuah filem pertandingan tarian. 

Cabaran seorang guru mempertahankan kelabnya, dugaan pelajar-pelajar di dalam dan luar sekolah untuk meneruskan latihan dan pergolakkan dalamannya sudah biasa kita lihat dalam filem-filem pembentukkan sekumpulan pelajar yang tiada pengalaman tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Sehinggakan babak pelajar cedera dalam latihan juga tidak meninggalkan impak untuk penonton merasakan penderitaan, hanya permainan emosi melalui kesedihan.

Ulasan: LET'S GO, JETS! チア☆ダン (2017)

Lebih mengecewakan ialah teknik fast forward dilakukan setiap kali Jets menyertai pertandingan besar. Apabila diperingkat pertandingan akhir, pengarah sinematografi memilih wide shot dan lebih mementingkan framing lantai tarian daripada para penarinya. Sayang sekali kerana latihan tarian intensif yang dijalani pelakon-pelakon muda ini walaupun synchronise tetapi sia-sia kerana tidak jelas dipertontonkan.

Satu perkara yang menyelamatkan filem ini secara keseluruhan ialah bagaimana pelakon-pelakonnya menaikkan semangat penonton melalui karakter mereka. Suzu Hirose yang pernah digelar pelakon perempuan paling dibenci tahun 2015, sekali lagi membuktikan pada pengkritik selepas kejayaannya menjadi pelakon utama dalam dua filem CHIHAYAFURU (2016). Walaupun menjadi pelakon paling muda berbanding yang lain, dia berjaya menjadi penggerak utama seluruh penceritaan dengan keceriaan, komedi, emosi dan semangat yang ditonjolkan.

Yuku Amami bersama jurulatih sebenar JETS, Yuko Igarashi

Dengan durasi panjang 2 jam LET'S GO, JETS! masih berjaya menghiburkan dengan menerapkan semangat tidak mudah kalah dalam kelab tarian sorak kecil yang bercita-cita besar.

No comments: