Ulasan: PENGABDI SETAN (2017) | Casey's Movie Mania | Movie Reviews, Features & Others

Saturday, 25 November 2017

Ulasan: PENGABDI SETAN (2017)


Rini (Tara Basro) kehilangan ibunya (Ayu Laksmi) yang meninggal akibat penyakit, tidak lama selepas itu dia dan tiga adik lelakinya (Endy Arfian, Nasar Annuz dan M. Adhiyat) mula mengalami fenomena aneh di sekitar rumah sementara bapanya (Bront Palarae) pergi bekerja. Jiran mereka Hendra (Dimas Aditya) dan ayahnya seorang Ustaz (Arswendi Nasution) cuba memberi bantuan terhadap keluarga yang sering mengalami gangguan paranormal.


ULASAN: Tanpa kekangan censorship yang ketat dari aspek tahyul, industri filem seram Indonesia tahun 80’an telah berjaya menghasilkan banyak filem box-office yang sekarang menjadi filem cult-classic serata dunia. Akan tetapi bila arus kemodenan melanda, filem-filem seram bertukar akibat campuran elemen pornografi ringan yang menghancurkan kehebatan industri filem seram bermula sekitar akhir 90’an.

Mendengar filem PENGABDI SETAN tahun 1980 akan kembali dalam versi remake, sudah pasti ramai peminat rasa bimbang kerana tidak mahu kehebatannya tercemar. Namun sangkaan itu meleset kerana pengarah Joko Anwar yang juga seorang peminat versi asalnya, begitu berhati-hati setelah mendapat kebenaran melakukan remake.


Tidak dinafikan versi baru ini banyak jump scare tetapi ia tidak keterlaluan dan tidak membosankan kerana kreativiti sinematografi, pencahayaan, muzik serta efek bunyi bergabung dan menjayakan setiap babak kejutan. Ical Tanjung yang pernah bekerjasama dengan Joko untuk siri TV HBO, HalfWorld cukup bijak menggunakan shot yang meningkatkan ketakutan penonton. Walaupun menggunakan wide angle waktu malam, setiap babak cukup fokus dan kelihatan jelas bukan seperti filem seram lain yang sangat gelap dan kabur.


Kepujian tertinggi patut diberi kepada kru yang melakukan make-up dan kostum praktikal untuk hantu-hantu yang jauh lebih real berbanding dengan hantu CGI. Pemilihan lokasi iaitu rumah lama yang memerlukan rekaan set yang minima merupakan tunjang kekuatan filem ini, rumah ini nampak sempit tapi kru berjaya bermain dengan lorong, tangga, tandas dan pintu, masih teringat-ingat selepas keluar dari pawagam.

Perbezaan paling ketara dapat dilihat berbanding versi original ialah versi ini tidak preachy dengan elemen agama. Joko menyuruh penonton berfikir sendiri dari membiarkan kita mendengar ceramah panjang. Jika filem ini keluaran Malaysia, sudah pasti ia akan dikecam dengan hebat tapi harus diingat, filem Hollywood dan Hong Kong banyak menayangkan babak Paderi dan Sami berdoa dan sembahyang pun hantu masih boleh mengganggu. Filem ini bukan anti agama tetapi sebenarnya bertanya kembali kepada kita ditahap manakah kekuatan iman manusia untuk menjauhi hasutan syaitan.


Masih ada beberapa kelemahan kecil dalam filem remake yang bukan remake ini tetapi Joko Anwar berjaya mengembalikan kehebatan filem seram Indonesia dengan cara old-school movie making. Jangan lupa untuk fokus dibabak terakhir kerana ada elemen tersembunyi yang hanya peminat versi original PENGABDI SETAN saja bakal mengetahuinya.

Ulasan ini ditulis oleh Ezli Qamari.

Walaupun ada beberapa kelemahan kecil dalam PENGABDI SETAN, filem remake ini masih dapat dijayakan oleh Joko Anwar dengan elemen kejutan, sinematografi dan efek teknikal yang berkesan.

No comments: