Ulasan: Venom (2018)

Alien terhempas, alien cari alien, alien jumpa alien, alien lawan alien — ini adalah plot yang sangat old-school mengambil inspirasi berdasarkan komik “Planet of the Symbiotes” tahun 1995.

Dalam filem solo pertama Venom, Tom Hardy memegang watak sebagai Eddie Brock, seorang wartawan yang cuba membongkar rahsia pengasas terkenal Life Foundation, Carlton Drake (Riz Ahmed) tetapi obsesinya mencari kebenaran merosakkan kariernya dan hubungannya dengan teman wanita, Anne Weying (Michelle Williams). Semasa menyiasat salah satu daripada eksperimen Drake, makhluk asing Venom bergabung dengan tubuh Eddie, dan dia mempunyai kekuatan baru yang hebat, dan juga peluang untuk melakukan apa sahaja yang dia mahukan – jika dia boleh mengawal Venom.

Filem ini punyai pacing yang laju tetapi untuk sampai ke sesuatu point penceritaan mengambil selok belok yang terlalu lama. Pada permulaan cerita yang diselang-seli kisah peribadi Eddie, ujikaji oleh Carlton dan perjalanan merentas bumi oleh symbiote agak panjang dan membuat penonton hilang fokus. Penonton tempatan mungkin rasa terhibur kerana satu “kejutan” tetapi penonton secara umum perlu melihat symbiote bertukar hos berkali-kali yang agak repetitive

Pemilihan plot yang berbeza dari komik dan tiada kena-mengena dengan MCU Disney berjaya memberi nafas baru dalam penceritaan filem adiwira tetapi ia bakal memerangkap diri dalam sarang sendiri seperti The Amazing Spider-Man 1 dan 2 yang banyak potensi tapi akhirnya hilang arah tuju.

Penyelamat utama filem ini ialah kehebatan pelakon-pelakon utamanya. Tom Hardy seperti biasa memberi komitmen sepenuhnya dengan apa saja watak yang dipegangnya. Membawa watak wartawan dahagakan kebenaran pada awalnya, kemudian menjadi lemah dan gagal, punyai krisis identiti bersama Venom dan akhirnya redha dengan kuasa yang dimiliki. Tom sering berubah suara, emosi dan fizikal untuk menjayakan watak Eddie dan Venom. Riz Ahmed menjadi penjahat yang percaya apa dilakukan walaupun zalim ataupun bahaya, adalah untuk kebaikan sains. Lakonan Riz yang tenang tetapi commanding sangat berkesan walaupun punyai tubuh yang kecil.

Kelemahan paling ketara filem Venom adalah kualiti kesan khasnya yang tidak konsisten. Dari transformasi Venom hingga ke aksi, semuanya agak tidak jelas kerana terlalu laju dan agak gelap. 

Venom hanya berjaya kerana kehebatan Tom Hardy sebagai tunjang utama tetapi mengecewakan dari segi kesan khas dan plot yang agak old-school namun membuka jalan luas bagi anti-hero ini dalam universe-nya tersendiri di masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *