Ulasan: Mary Poppins Returns (2018)
Filem sekuel Mary Poppins Returns mengisahkan Michael Banks (Ben Whishaw) yang kini sudah dewasa, tinggal di Cherry Tree Lane bersama tiga anaknya (Pixie Davies, Nathanael Saleh dan Joel Dawson). Apabila Michael dan Jane Banks (Emily Mortimer) ditimpa kesusahan, Mary Poppins (Emily Blunt) kembali dalam kehidupan keluarga Banks memberi bantuan.
Kisah kali ini diambil dari buku kedua Mary Poppins Comes Back tulisan P.L. Travers pada tahun 1935. Versi asalnya mengisahkan Mary kembali ke rumah setelah Mr Banks mendapat anak kelima namun dalam filem ini, ia mengisahkan pengembaraan anak-anak Michael. Berlatarbelakangkan zaman kemerosotan ekonomi British tahun 1930’an dikenali sebagai “The Great Slump”, di atas kertas filem ini punyai premis yang sangat menarik.
Entah kenapa, dalam dunia teknologi serba moden dan kreativiti tanpa batasan, penulis David Magee, Rob Marshall dan John DeLuca memilih langkah selamat dengan mengitar semula acuan filem asal Mary Poppins (1964) pada hampir kesemua babak membuatkan penceritaannya gagal berkembang.
Paling menghairankan, dalam versi buku banyak plot dan karakter menarik boleh ditonjolkan seperti Miss Euphemia Andrew, atau gelarannya “the Holy Terror,” merupakan pengasuh Mr Banks semasa kecil yang sekarang menjadi musuh Mary. Satu lagi karakter berpotensi ialah Mr Turvy yang boleh dibentuk menjadi karakter LGBT yang pernah cuba diketengahkan dalam Beauty and the Beast (2017) lalu mengakibatkan kontroversi dipawagam tempatan. Sayangnya, Mr Turvy ditukar menjadi watak Topsy lakonan Meryl Streep yang hanyalah setakat kameo kecil.
Pujian tertinggi perlu diberi pada Emily Blunt dan Ben Whishaw. Emily membuktikan dia memang seorang pelakon versatil dengan berjaya menambah menari dan menyanyi dalam resume-nya. Dia juga berjaya membawa ketegasan dalam watak Mary yang jelas dalam buku tetapi tidak pada Julie Andrews. Ben pula pandai bermain dengan emosi terutama berhadapan dengan tiga pelakon kanak-kanak. Paling mengecewakan ialah Lin-Manuel Miranda yang sepatutnya membawa watak berkesan sang penglipur lara, namun dia tidak ada karisma bertenaga yang pernah ditonjolkan Dick Van Dyke.
Dari segi muzikal pula, lagu-lagu seperti “Chim-Chim Cher-ee”, “A Spoonful of Sugar” dan “Supercalifragilisticexpialidocious” pasti terpahat dalam ingatan dan menjadi siulan, sayangnya kali ini tidak ada satu lagu pun lekat dikepala selepas keluar pawagam. Mungkin hanya satu iaitu “Nowhere To Go But Up” nyanyian Angela Lansbury and barisan pelakon yang lain.
Selepas Into The Woods tahun 2014, Rob Marshall tidak mengambil iktibar dari kejayaan filem muzikal moden seperti La La Land (2016) dan The Greatest Showman (2017) yang padat tapi berkesan dengan mengimbangi muzikal dan penceritaan. Pendekatan nostalgia yang dipilih tak pasti sesuai untuk kanak-kanak yang hidup zaman internet serba laju ataupun penonton asal Mary Poppins pertama yang berumur lebih 70 tahun dan perlu ke tandas setiap 30 minit. Bayangkan ada sebuah lagu dalam filem ini yang panjangnya 7 minit!
Akhir kata, Mary Poppins Returns nampak hebat dengan barisan pelakon, visual dan premis yang menarik tetapi pengarah Rob Marshall memerangkap diri dengan memilih nostalgia dan bukan penceritaan berkesan setelah peminat menunggu 54 tahun untuk kepulangan Mary Poppins.