Ulasan: Solo: A Star Wars Story (2018)
Sertai pengembaraan Han Solo (Alden Ehrenreich) dalam dunia penyeludupan kongsi gelap dan pertemuannya dengan Chewbacca (Joonas Suotamo) dan Lando Calrissian (Donald Glover) bertahun sebelum menyertai Rebel.
Seperti semua sedia maklum, pengarah Phil Lord dan Christopher Miller (The Lego Movie) dipecat sewaktu penggambaran dan diganti dengan Ron Howard. Mungkin ini adalah petanda awal masalah keseluruhan filem Solo: A Star Wars Story.
Mari kita lihat plot penceritaannya: Han lari dari tempat tinggalnya sebuah planet perindustrian, terpaksa menyertai tentera Empire kemudiannya lari dari medan perang, bergabung dengan kumpulan perompak yang cuba lari dari dibunuh Dryden Vos (Paul Bettany). Perasan tak berapa kali perkataan “lari” telah digunakan? Ini telah mengubah imej ikonik Han dari seorang penyeludup hebat menjadi sekadar seorang pelarian.
Memandangkan Solo: A Star Wars Story dicadang menjadi sebuah trilogi, kenapa tidak mahu meluang masa melihat Han dari kecil, kisah keluarga serta penderitaan yang dilalui dan selami kisah kehidupannya dalam Empire? Semua elemen diatas dirangkapkan dalam sepatah dua ayat dalam filem ini, menjadikan ia satu pembaziran konsep.
Penulis dua beranak Lawrence and Jonathan Kasdan mengabaikan plot-plot berpotensi tapi mengetengahkan kisah cinta Han dan Qi’ra (Emilia Clarke) sedangkan semua sedia maklum Star Wars dan cinta selalunya gagal seperti kes Finn (John Boyega) dan Rose (Kelly Marie Tran) dalam Star Wars: The Last Jedi (2017) juga Anakin (Hayden Christensen) dan Padmé (Natalie Portman) dalam Star Wars: Episode II – Attack of the Clones (2002).
Untuk bercinta, lakonan yang memberansangkan amat penting tetapi usaha Emilia Clarke jadi sia-sia kerana Alden Ehrenreich kelihatan kaku. Nasib baik bromance antara Solo dan Chewbacca menjadi! Bila berhadapan dengan nama besar Woody Harrelson dan Paul Bettany, lakonan Alden jadi tenggelam dan kadang kala tidak konsisten.
Pujian harus diberi kepada Donald Glover yang mencuri perhatian kerana berjaya membawa karisma Billy Dee Williams dengan gaya dan percakapan. Juga droid L3-37 (Phoebe Waller-Bridge) yang sangat kelakar menyampaikan lawak one-liner.
Ada dua perkara saja yang menyelamatkan filem ini. Pertama: sentuhan muzik John Powell yang digabungkan karya asal John Williams membuat penonton teruja terutama babak kejar mengejar. Kedua: semua babak aksi melibatkan Millennium Falcon dan babak cubaan merampas keretapi dilaksanakan dengan hebat sekali walaupun banyak babak yang sangat gelap.
Mungkin Kathleen Kennedy perlu fikirkan semula sebelum cuba bermain dengan watak-watak ikonik Star Wars dan memilih cerita tersendiri yang lebih segar seperti Rogue One: A Star Wars Story (2016).