Review

Ulasan: Black Panther (2018)

T’Challa/Black Panther (Chadwick Boseman) kembali ke “kampung” halamannya Wakanda setelah kematian ayahnya T’Chaka (John Kani). Setelah secara rasminya dinobatkan sebagai raja baru, dia kini menghadapi dua ancaman dari seorang peniaga senjata bernama Ulysses Klaue (Andy Serkis) dan Erik Killmonger (Michael B. Jordan), seorang bekas tentera yang mempunyai dendam peribadi terhadap T’Challa.

Tanggapan awal bahawa filem ini hanyalah sekadar marketing ploy untuk menarik perhatian penonton kepada Avengers: Infinity Wars bulan April nanti tidak benar sama sekali kerana ia berdiri sama hebat dengan superhero Marvel yang lain.

Black Panther memilih cara penceritaan luar dari buku komik dan tidak bermain dengan plot hero yang tidak bersedia tetapi terpaksa menjadi Raja. Aspek utama kejayaan filem ini ialah elemen close to home, tiada gangguan makhluk asing, tiada campur tangan Dewa/Tuhan dan tiada ancaman teknologi robot psiko. Semua kejadian yang membelenggu T’Challa adalah masalah dalaman Wakanda yang perlu ditangani oleh penduduknya sendiri.

Penulisan Ryan Coogler dan Joe Robert Cole tidak bersandar atas kebencian terhadap sifat perkauman selepas pemerintahan Trump seperti dalam filem-filem lain yang agak memaksa. Sebagai contoh, kebencian warga Wakanda terhadap orang asing seperti ejen Everett K. Ross (Martin Freeman) secara kreatifnya dijadikan lawak one-liner yang kelakar tapi sangat meninggalkan kesan.

Sama juga dengan gender equality yang sering dilaungkan, Black Panther yang dibarisi watak utama lelaki meletakkan banyak pelakon wanita berkaliber menyokong perjuangan Wakanda. Lupita Nyong’o sebagai bekas kekasih T’Challa, Danai Gurira sebagai ketua keselamatan Wakanda dan Angela Bassett sebagai ibu penyayang mempunyai screentime yang mencukupi tetapi watak yang benar-benar menyinar ialah adik T’Challa, Shuri (Letitia Wright) yang sama seperti Q dalam filem James Bond. Dia bukan saja pencipta gajet dan membantu abangnya tetapi dia betul-betul berjuang mempertahankan negaranya.

Paling penting, filem ini dapat memecah kebuntuan pemilihan penjahat dalam MCU yang kita tak tahu nak ambil serius atau tidak seperti Yellowjacket, Ultron dan Ego. Keserasian Michael B. Jordan berganding dengan pengarah Ryan Coogler buat kali ketiga, menghasilkan penjahat yang mempunyai motif yang jelas dan dendam yang bernas. Penonton faham dan kadangkala setuju kenapa Killmonger jadi begitu zalim sekaligus menguatkan keseluruhan plot dendam yang dipersembahkan.

Pujian perlu diberikan kepada pereka kostum Ruth E. Carter yang perlu membuat pelbagai versi pakaian Wakanda versi tradisi, versi moden dan gabungan kedua-duanya. Namun begitu, kehebatan Black Panther hanya tercalar kerana CGI yang tidak konsisten membuatkan beberapa babak aksi nampak kartun terutama sekali jika melibatkan babak dengan haiwan.

Leave a Reply